KUALA TERENGGANU:Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar di sini ditutup selama 14 hari berikutan seorang guru dan seorang pelajar telah disahkan positif COVID-19.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus berkata penutupan yang bermula Khamis lepas sehingga 10 Feb itu bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dilakukan bagi mencegah penularan wabak pandemik COVID-19 di sekolah itu.

"Penutupan sementara sekolah tersebut dijalankan di bawah Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi mengelak perebakan penyakit berjangkit. Sehubungan itu, semua aktiviti dalam kawasan sekolah perlu ditangguhkan," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Arahan penutupan itu juga menyebabkan sesi pembelajaran secara bersemuka melibatkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) SMK Bukit Besar terpaksa dihentikan sepanjang tempoh berkenaan.

Sebelum ini, 15 sekolah juga telah diarah tutup iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kesom, SK Bukit Petiti, SK Pulau Manis, SK Manir, SK Tengku Ampuan Mariam, SK Kedai Buloh, SK Tok Dir, SK Pusat Kuala Ibai, SK Seri Budiman, SK Gong Tok Nasek, SK Sultan Sulaiman 1, SK Paloh, SK Paya Bunga, SK Pusat Cabang Tiga dan SK Bukit Apit.

-- BERNAMA