KUCHING:Sekolah Menengah Kebangsaan Wira Penrissen ditutup tujuh hari selepas salah seorang pelajar sekolah berkenaan didapati positif Covid-19.

Dalam satu kenyataan, Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, Abang Mat Ali Abang Masagus memberitahu sekolah tersebut akan ditutup bermula hari ini, 26 Oktober sehingga 1 November 2020.

Jelasnya, pihak sekolah disarankan untuk bekerja dari rumah dan melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran mengikut kesesuaian dan keupayaan kepada akses komunikasi murid sepanjang tempoh penutupan sekolah.

Keputusan itu juga dibuat dengan merujuk kepada keputusan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang memaklumkan mana-mana sekolah di seluruh negara yang mempunyai kes positif COVID-19 perlu ditutup dalam tempoh tujuh hari tanpa menunggu analisis risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sementara itu, berdasarkan laporan harian Jawatankuasa  Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) bertarikh 25 Oktober, ibu, ayah dan pelajar berkenaan didapati positif COVID-19 melalui saringan kontak kepada kes positif COVID-19 dalam kelompok kluster Baki, Kuching.

Baca: Satu lagi kluster baharu, 16 kes positif COVID-19 di Sarawak

Kes ke-788, 789, dan 790 ini mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan keluarga bersama kes ke-768, dan 770 pada 4 hingga 5 Oktober 2020.

Penambahan tiga kes ini menjadikan jumlah kes positif melibatkan kluster baki meningkat kepada lapan orang termasuk kes indeks.

Setakat 12 tengahari Ahad, 691 individu telah disaring semasa aktiviti pengesanan kes aktif (ACD)  oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) di Kampung Haji Baki.

Kesemua individu yang disaring masih menunggu keputusan ujian makmal.