Malaysia mencatatkan satu angka kes jangkitan baharu COVID-19 untuk dua hari berturut-turut, dengan hanya satu kes dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan media memaklumkan, kes terbaharu yang dikesan merupakan kes penularan dalam negara yang melibatkan warganegara Malaysia iaitu kes saringan Severe Acute Respiratory Infection (SARI) yang dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Perlis.

Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,002 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 193 kes.

Sementara itu tiada kes positif COVID-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini.

Dengan itu jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 125 kes.

"KKM ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak kerana pencapaian ini sememangnya adalah hasil usaha dan kerjasama setiap peringkat dan lapisan masyarakat serta agensi terbabit dalam memainkan peranan masing-masing.

"KKM berharap masyarakat akan terus mengamalkan norma dan kelaziman baharu dalam kehidupan seharian serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

"Penularan semula jangkitan COVID-19 di Malaysia boleh berlaku sekiranya kita leka dan mengambil mudah saranan, arahan serta amaran kerajaan," kata Dr Noor Hisham.