Tiada keperluan untuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga depoh tahanan Imigresen (DTI) yang dikaitkan dengan kes positif COVID-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, ini kerana kawasan tersebut sudah berada dalam pengawasan pihak berkuasa, selain semua penghuni dan petugas di depoh tersebut sudah diarah menjalani saringan COVID-19.

"Kita juga menyediakan ujian saringan kepada kakitangan yang terlibat dalam pengurusan pusat tahanan tersebut.

"Jadi, kita telah kenal pasti semua DTI sebagai lokasi berisiko tinggi dan kita akan melakukan pembersihan.

"Pada dasarnya, apa yang kita sedang laksanakan adalah seperti PKPD tetapi kita tidak kuarantin mereka kerana mereka sudah berada dalam kawasan kawalan," katanya dalam sidang media harian, di sini pada Selasa.

Terdahulu, dalam sidang media sama, Dr. Noor Hisham berkata sebanyak 187 kes baharu COVID-19 dilaporkan pada Selasa.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 155 kes dikesan di DTI Bukit Jalil.