Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menjelaskan bahawa hanya terdapat zon kuning dan tiada zon merah di Pulau Pinang.

Datuk Bandar MBSP Datuk Rozali Mahmud berkata Pulau Pinang kini mempunyai empat zon kuning, tiga daripadanya di tanah besar dan satu di pulau.

"Saya menerima banyak pertanyaan di media sosial mengenai adakah benar terdapat zon merah di Pulau Pinang," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab satu surat yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat perkilangan di Kedah yang meminta pekerjanya supaya tidak mengunjungi kawasan yang diisytiharkan sebagai zon merah di Kedah dan Pulau Pinang.

Surat itu yang tular, mendakwa Kementerian Kesihatan telah mengisytiharkan 21 zon merah di dua negeri berkenaan.

Daerah yang dikategorikan sebagai zon kuning mempunyai antara satu hingga 40 kes aktif COVID-19 manakala zon merah mempunyai lebih daripada 41 kes aktif.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, dan Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo berkata berikutan peningkatan kes aktif di Pulau Pinang baru-baru ini, beberapa prosedur operasi standard (SOP) di Seberang Perai ditingkatkan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan awam.

Beliau berkata Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan MBSP telah meningkatkan pemeriksaan di premis-premis untuk memastikan pematuhan terhadap SOP.