Kerajaan berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama terhadap petugas barisan hadapan serta mematuhi arahan kuarantin, walaupun ada yang menganggap diri mereka lebih istimewa daripada orang lain.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, COVID-19 tidak mengira darjat atau pangkat, justeru semua orang wajib mematuhi arahan yang dikenakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau sedar mengenai rungutan dan cacian pihak tertentu yang baru pulang dari luar negara terhadap petugas barisan hadapan serta pusat kuarantin, namun bertegas bahawa mereka tidak boleh bersikap pentingkan diri sendiri.

“Saya harap masing-masing mempunyai kesedaran, kerana COVID-19 tidak kenal kayangan atau bumi… ia tak kenal siapa. Tak ada siapa boleh dibezakan oleh COVID-19 ini, (orang) kaya-raya tidak akan terkecuali daripada dijangkiti.

“Dari segi undang-undang, saya percaya, adalah salah untuk menghalang penjawat awam untuk menjalankan tugas masing masing,” katanya dalam sidang media harian COVID-19 di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai aduan seorang doktor yang mendakwa sesetengah rakyat yang baru tiba dari luar negara, bukan sahaja tidak memberi kerjasama kepada petugas barisan hadapan, malah ada yang mengeji dan mencari dengan panggilan seperti anjing dan pencacai najis.

“Kami petugas kesihatan bertindak mengikut arahan hanya untuk memastikan rakyat Malaysia baru sampai dari luar negara ini selamat dan tidak menyebarkan (wabak) kepada orang lain.

“Memang kami kena kerja kuat sekarang bertugas siang dan malam buat saringan tapi nampaknya ada orang turun kayangan ini sombongnya bukan main, bagai dipijak-pijak maruah kami, petugas kesihatan. Memang tak bersyukur,” dakwa doktor itu lagi seperti yang menjadi viral di laman sosial.