Tiga anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia terpaksa menjalani proses kuarantin selepas didapati mempunyai kontak dengan individu yang disahkan positif COVID-19.

Menurut Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata dua daripadanya mempunyai kontak dengan individu yang terbabit dengan jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan di Masjid Jamek Sri Petaling di ibu negara tempoh hari.

“Dua anggota tersebut ialah anggota di Kuantan (Pahang) dan juga Kuala Kurau (Perak). Mereka ini dipercayai berhubung degan kontak tersebut melalui aktiviti sukan dan majlis perkahwinan. Kedua-dua mereka telah menjalani proses kuarantin sejak 6 Mac dan juga 18 Mac.

"Manakala seorang lagi adalah anggota yang bertugas di Putrajaya, di mana adik beliau merupakan seorang doktor yang didapati positif," Katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Jelas Zubil, APMM ketika ini telah mengetatkan kawalan kesihatan dalam kalangan semua anggota yang bertugas bagi memastikan semua anggota berada dalam keadaan selamat.

“Kita telah mewajibkan semua anggota menjalani pemeriksaan suhu badan setiap kali mereka datang bertugas dan juga selepas selesai melaksanakan tugas mereka. Ini termasuk di pejabat dan juga mereka yang bertugas di kapal," katanya.

APMM juga, katanya, telah menghadkan jarak anggota dengan kontak yang tidak dikenali ketika melaksanakan tugasan mereka di laut bagi mengurangkan risiko jangkitan terhadap mereka.

Mereka juga diwajibkan memakai topeng muka bagi langkah keselamatan.

Tambah beliau, ketika ini tangkapan hanya akan dilakukan sekiranya benar-benar perlu atau melibatkan kes berprofil tinggi.

BACA: APMM pertingkat kawalan di sempadan maritim negara