PUTRAJAYA:Terdapat tiga kluster baharu COVID-19 dilaporkan hari ini, dua di Sabah dan satu di Kuala Lumpur, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. 

Katanya, tiga kluster tersebut ialah Kluster Buang Sayang dan Kluster Kg Sakong di Sabah selain Kluster Setapak di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, kes indeks kluster Buang Sayang mempunyai sejarah perjalanan ke Sipitang, Sabah dari 7 hingga 20 September 2020.

"Saringan COVID-19, dia didapati positif pada 20 September dan susulan itu, pengesanan kes secara aktif dijalankan dengan empat dikesan positif," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Bagi Kluster Kg Sakong, kes indeks dikesan positif COVID-19 pada 18 September melalui saringan komuniti, katanya. Dia tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Tawau untuk rawatan.

Katanya, sembilan kes positif direkodkan dalam kluster ini setakat ini.

"Di Kuala Lumpur, Kluster Setapak dikesan membabitkan kes indeks yang mempunyai sejarah perjalanan ke Tawau dan Semporna, Sabah dari 17 hingga 20 September.

"Dua lagi kes positif yang dikesan adalah rakan serumah kes indeks," tambah beliau.

Kesemua kes dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.