Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (MERHROM) mendakwa tiga pelarian Rohingya yang hadir Himpunan Tabligh Ijtima di Masjid Sri Petaling 28 Februari lalu telah ke Hospital Kajang untuk pemeriksaan kesihatan, namun mereka diarahkan pulang ke rumah tanpa sebarang ujian.

Presidennya, Zafar Ahmad Bin Abdul Ghani berkata, seorang lagi warga etnik itu yang mempunyai simptoms COVID-19 juga tidak berjaya mendapatkan pemeriksaan hospital kerana tiada dokumen pengesahan dari klinik.

"Kes pertama, seorang pelarian Rohingya ada simptom dan saya telah nasihatkannya pergi hospital. Dia pergi ke Hospital Ampang tetapi disuruh ke Hopital Kuala Lumpur. Bagaimanapun, HKL meminta surat dari klinik dan dia telah pulang ke rumah.

"Kes kedua, 3 pelarian Rohingya yang menghadiri Tabligh Ijtima pada 28 Februari 2020 telah ke Hospital Kajang untuk ujian pemeriksaan namun disuruh pulang tanpa ujian," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kata Zafar, berdasarkan maklumat diterima, kira-kira 200 pelarian Rohingya menghadiri Himpunan Tabligh Ijtima di Sri Petaling selama 4 hari.

BACA: Apa motif kaitkan 2,000 Rohingya dengan tabligh?

"MERHROM telah memberi kesedaran kepada warga Rohingya melalui Jawatankuasa MERHROM seluruh Malaysia mengenai simptom COVID-19 dan langkah pencegahan," ujar beliau.

MERHROM juga akan meneruskan pemantauan ke atas komuniti Rohingya dan melakukan tindakan sewajarnya.

"Bagaimanapun, sebahagian warga Rohingya mengatakan bahawa kerajaan mengarahkan mereka semua duduk di rumah.

Susulan itu, MERHROM mengesyorkan lima cadangan bagi membantu mengekang penularan COVID-19 di kalangan warga Rohingya.

"Pertama, menubuhkan klinik bergerak bagi melakukan ujian ke atas individu yang ada simptom termasuk keluarga mereka memandangkan kebanyakan mereka takut untuk keluar rumah atas arahan kerajaan atau takut ditahan.

"Kedua, tiada penahanan ke atas pelarian Rohingya yang masih tidak ada kad UNHCR. Ramai antara mereka tiada kad UNHCR kerana prosedur terlalu lama Refugee Determination Process," kata beliau lagi.

UNHCR juga dicadangkan memanjangkan taliannya kepada 24 jam dan badan itu disyorkan memberi bantuan kepada warga Rohingya dan keluarganya yang dijangkiti COVID-19.

"Semua warga Rohingya di Malaysia juga dinasihatkan agar mengikut arahan kerajaan Malaysia bagi mengekang penularan COVID-19.

Justeru, semua pelarian Rohingya dinasihatkan agar menghubungi Talian UNHCR atau MERHROM jika ada sebarang pertanyaan atau kesulitan.

"MERHROM akan terus membantu Kerajaan Malaysia untuk mengawal penularan COVID-19," tambahnya.