Prihatin dengan kekangan yang dihadapi petugas barisan hadapan di hospital seluruh negara, sebuah universiti di utara tanah air mengambil inisiatif menggunakan kepakaran pelajarnya untuk menghasilkan pakaian perlindungan diri (PPE gown).

Berbekalkan 13,000 meter kain tanpa tenun (non-woven), Universiti Utara Malaysia (UUM) bakal menyiapkan sekurang-kurangnya 6,000 gaun PPE untuk diserahkan kepada petugas di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.

Jelas Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersilan UUM, Prof Dr Razamin Ramli, kesemua 10 gulung kain yang dianggarkan mempunyai kira kira 1,300 meter setiap satu itu disumbangkan sendiri pihak HSB kepada UUM bagi proses jahitan.

Gulungan kain tanpa tenun yang dihantar pihak HSB kepada UUM.
Menurut beliau, proses pembuatan PPE dimulakan dengan penyediaan blok pola mengikut saiz agar dapat menutupi keseluruhan anggota badan petugas dan seterusnya dipotong serta dijahit menggunakan alatan yang terdapat di Pusat Kokurikulum UUM.

Tambah Razamin, proses jahitan terbabit melibatkan lebih 50 pelajar dan staf UUM termasuk di belakang tabir di mana kesemua mereka akan menyiapkan sekitar 50 pasang PPE setiap hari.

Ia melihat kepada keperluan HSB yang ketika ini memerlukan sekitar 700 hingga 1000 pasang PPE sehari bagi merawat pesakit sedia ada.

"Kita dapat idea untuk laksanakan projek PPE atau PPE gown khas untuk Hospital Sultanah Bahiyah.

"Kita sama-sama merancang dulu macammana untuk gerakkan apa yang ada di UUM, di situ lah dapat idea bahawa UUM rupanya ada mesin jahit.

"Dengan ada pula pelajar yang tak balik ini, 1,000 lebih pelajar ini rupanya ada antara mereka pernah ikuti kokurikulum jahitan," kata Razamin.

Pelajar UUM mengukur kain tanpa tenun khas untuk dijadikan gaun PPE.
Razamin turut menjelaskan bahawa beliau meletakkan sasaran untuk menyiapkan projek ini dalam tempoh dua minggu lagi dan gulungan kain tambahan akan dipohon sebaik sahaja projek peringkat pertama selesai.

Sementara itu, Ketua Pegawai Farmasi HSB, Masfiza Abd Hamid berasa berbesar hati dengan inisiatif UUM.

"Saya berbesar hati kerana menerima permohonan daripada UUM untuk menyumbang jasa bakti mereka menyediakan isolation gown (gaun pengasingan) iaitu sebahagian daripada PPE set.

"Hari ini, Hospital Sultanah Bahiyah menghantar 10 gulung kain dengan 1,300 meter setiap satu untuk dijadikan isolation gown bagi membantu frontliners untuk bertugas bagi menghadapi COVID19," kata Masfiza.

Gaun PPE yang terhasil daripada kerja tangan pelajar UUM.
Sumbangan yang dilakukan warga UUM, khususnya dalam kepakaran jahitan, sedikit sebanyak mampu memudahkan tugasan frontliners dalam memerangi penularan wabak COVID-19.