Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) meminta syarikat makanan Amerika Syarikat, Kraft Heinz menarik balik kempen negatifnya terhadap minyak sawit dan dan mesej diskriminasi pada produk syarikat tersebut.

CPOPC berkata syarikat itu yang merupakan anggota Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) harus menjaga sensitiviti melibatkan isu minyak sawit di negara-negara pengeluar minyak sawit, dan penilaian yang lebih seimbang mengenai kelestarian global dan persekitaran.

"Produk syarikat itu banyak dijual di Indonesia dan Malaysia, dan syarikat Kraft Heinz mempunyai pejabat berpangkalan di Jakarta dan Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Syarikat tersebut seharusnya konsisten dan menghormati kepintaran pengguna serta martabat berjuta-juta orang yang bekerja di sepanjang rantaian bekalan, tetapi ia juga harus mempertimbangkan jalinan kerjasama untuk meningkatkan dan memperkukuhkan kelestarian, termasuk kerjasama erat dalam memelihara orang utan.

Pada 4 Ogos, CPOPC mengirim surat bantahan kepada Kraft Heinz kerana kempen negatifnya terhadap minyak sawit sebagai respons terhadap dakwaan produk "bebas minyak sawit" dan mesej diskriminasi mengenai mentega hazelnut baharu Kraft di Kanada.

-- BERNAMA