Peralihan antara musim kering dan hujan di kawasan bakau merupakan faktor serangan merebak ulat bulu hitam di Kampung Tepi Laut Mukim Tebengau di Kuala Kedah, Kedah baru-baru ini.

Jabatan Pertanian dalam kenyataan pada Khamis berkata keadaan itu juga didapati mempengaruhi populasi musuh yang dapat mengawal serangga perosak tersebut secara semula jadi.

Serangan serangga itu atau nama biasanya Rama-rama Jati (Teak Defoliator) juga dipercayai akibat sumber makanan serangga berkenaan seperti pokok jati dan pokok api-api (Avicennia spp) yang terdapat berhampiran kampung tersebut telah berkurangan sehingga menyebabkan serangga itu terpaksa mencari sumber lain dan kampung berkenaan menjadi tumpuan populasi serangga itu.

"Serangga ini terdapat di kawasan tropika dan hidup secara semula jadi di kawasan hutan dan paya bakau. Ia perosak utama pokok jati dan perosak 'minor' kepada lebih 45 jenis tumbuhan, kebanyakannya pokok hutan atau paya bakau seperti pokok api-api," menurut jabatan itu.

Sebelum ini, media melaporkan ribuan ulat bulu hitam memenuhi jalan kampung dan pokok-pokok di kampung berkenaan, selain memasuki kenderaan dan rumah, sehingga menjejaskan majlis perkahwinan seorang daripada penduduk di situ pada 27 Nov lalu.

Ulat-ulat itu dihapuskan dan dikawal daripada merebak melalui semburan racun perosak cypermethrin yang dilakukan Bahagian Biosekuriti Tumbuhan (BBT) dari Jabatan Pertanian Kedah pada 29 Nov.

Menurut jabatan itu, kejadian tersebut boleh berulang dan pihak berkuasa tempatan seharusnya bersedia untuk menghadapi insiden tersebut.

Jika kejadian serangan itu berlaku, orang awam boleh menghubungi pegawai jabatan dari BBT Kuala Lumpur di talian 03-2030 1400 atau mana-mana Pejabat Pertanian berhampiran, katanya.

-- BERNAMA