Misi pencarian pesawat MH370 boleh dilakukan dengan lebih cepat dan selamat berikutan keadaan cuaca yang baik di selatan Lautan Hindi.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata keadaan laut yang tidak berombak besar membantu kapal-kapal yang sedang beroperasi di lautan itu memperluaskan pencarian.

Pada masa sama, beliau yakin misi pencarian yang dilakukan di Lautan Hindi sekarang ini adalah tepat dan pesawat malang tersebut akan dijumpai tidak lama lagi.

"Kami yakin bahawa misi pencarian MH370 yang kita sedang lakukan sekarang ini adalah tepat lokasinya dan kami pasti dapat mencari tidak lama lagi," katanya pada sidang media selepas mengedarkan pek cenderahati kepada penumpang perkhidmatan tren elektrik (ETS) sempena Tahun Baru Cina di KL Sentral pada Jumaat.

Tambahnya, pencarian MH370 ini merupakan misi utama Kementerian Pengangkutan bersama Australia dan China.

Tiong Lai berkata Malaysia bersama dua negara tersebut sangat komited untuk segera menemukan pesawat malang tersebut.

Buat masa ini, empat kapal terlibat dalam misi pencarian berkenaan termasuk kapal dari China yang baru memulakan operasinya pada 1 Februari lalu.

Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang termasuk anak kapal hilang tanpa jejak sejak 8 Mac 2014.