Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) Terengganu menjangkakan kes kebakaran hutan di negeri ini akan terus meningkat ekoran fenomena cuaca panas yang melanda.

Timbalan Pengarah JBPM Terengganu, Sharikan Bustaman berkata, bagi sembilan hari pertama bulan ini, sebanyak 65 kes kebakaran terbuka, termasuk hutan, tanah gambut dan belukar, telah direkodkan.

Menurutnya, dalam tempoh itu juga, kawasan seluas 41 hektar telah turut musnah.

"Daerah Kemaman mencatatkan indeks yang tinggi dari segi jumlah kebakaran. Yang kedua adalah Dungun, ketiga di daerah baru, iaitu Kuala Nerus dan juga daerah Kuala Terengganu sendiri.

"Kita melihat empat daerah di negeri Terengganu telah mencatatkan satu indeks tertinggi, menerusi panggilan kebakaran, yang melibatkan gambut, belukar, di seluruh negeri Terengganu," katanya.

Sharikan berkata, faktor manusia juga merupakan antara penyumbang kepada kebakaran hutan, serta individu yang menjalankan aktiviti pembersihan ladang dan sebagainya.

Jelasnya, perbuatan membuang puntung rokok juga menyebabkan laluan di tepi jalan turut terjejas.