KUALA LUMPUR: Penggunaan elektrik bagi Semenanjung Malaysia melonjak kepada 18,035 megawatt (MW) pada 2 Mac 2021 berbanding 17,501MW pada bulan Februari dan 16,585MW pada bulan Januari lalu.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu kenyataan berkata, pengunaan tinggi elektrik susulan taburan hujan yang agak rendah sejak Februari lalu, diikuti gelombang haba menyebabkan cuaca panas.

"Penggunaan yang tinggi ini dicapai ketika ekonomi negara masih dalam fasa pemulihan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan dan PKP Bersyarat (PKPB).

"Untuk rekod, penggunaan tertinggi direkodkan negara adalah 18,808MW pada 10 Mac 2020, lapan hari sebelum PKP mula dilaksanakan.

"Cuaca panas dijangka berterusan hingga pertengahan bulan Mac dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan amaran gelombang haba tahap berjaga-jaga dengan suhu antara 35 hingga 37 darjah Celcius di Chuping (Perlis), Kota Setar (Kedah), Alor Gajah (Melaka)
dan Tangkak (Johor)," katanya.

Mengulas lanjut, TNB berkata, permintaan elektrik yang tinggi ini antara lain didorong oleh penggunaan penyaman udara yang lebih kerap dan tempoh yang panjang.

Selain itu, kompresor sistem penyejuk pada sebarang perkakas elektrik terpaksa bekerja lebih kuat dan perlu menggunakan tenaga dengan lebih banyak bagi mengekalkan paras suhu yang sejuk ketika cuaca panas.

"Penggunaan elektrik dapat dijimatkan jika penggunaan penyaman udara dapat dioptimumkan dengan menetapkan suhu penyaman udara antara 24 hingga 26 darjah Celcius dan menutup tingkap dengan langsir yang tebal supaya haba tidak masuk.

"Penjimatan juga dapat dinikmati menerusi penggunaan pemasa untuk menutup penyaman udara pada awal pagi, dari jam 2 pagi ke atas (ketika cuaca mulai sejuk) dan memasang kipas untuk mengekalkan suhu sejuk dan pengedaran udara di dalam bilik.

"Senggaraan terhadap penyaman udara secara berkala pula dapat memastikan ia berfungsi dengan lebih efisien dan menjimatkan," ujarnya.

Dalam pada itu, TNB menjelaskan pengguna perlu mengelakkan daripada membuka pintu peti sejuk dengan kerap dan untuk tempoh yang lama.

Pengguna yang juga berhasrat untuk membeli peralatan elektrik yang baru dinasihatkan memilih perkakas elektrik berpandukan label Kecekapan Tenaga oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).

"Peralatan berlabel cekap tenaga 4 atau 5 bintang lebih menjimatkan penggunaan elektrik.

"Pengguna juga boleh membuat kiraan penggunaan perkakas elektrik menggunakan kalkulator tenaga di rumah (Home Energy Calculator) di laman web myTNB menerusi www.mytnb.com.my/energy-efficiency/home-energy-savings-tips/home-energy-calculator," katanya.