Gara-gara cuaca panas, lebih banyak ular dijangka keluar dari habitatnya untuk mencari tempat yang lebih sejuk sebagai 'istana hinggap' dan lokasi berlindung.

Ini termasuk dalam tayar kereta, celah pasu bunga mahupun rumah.

Sejumlah 5,894 ekor ular berjaya ditangkap Angkatan Pertahanan Awam (APM) sejak Januari hingga pertengahan Febuari 2018 di seluruh negeri Kedah.

Daerah Kota Setar, mencatatkan jumlah penangkapan tertinggi iaitu 1,097 kes diikuti Kuala Muda iaitu 1,091 dan Kulim sebanyak 771 kes..

Kes tangkapan melibatkan pelbagai spesis ular antaranya Tedung Selar, Tedung Senduk, Ular Kapak dan Ular Sawa.

Menurut Pegawai Bahagian Bencana Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah, jumlah itu dijangka meningkat ekoran musim kemarau agak panjang tahun ini sehingga April nanti.

"Kita melihat konflik ular dengan manusia ini adalah tinggi khususnya di kawasan bandar. Ia ekoran pembukaan penempatan baharu untuk taman perumahan dan juga industri yang sebelum ini menjadi habitat asalnya," katanya.

Sebagai langkah keselamatan, Saifuddin turut menasihati supaya orang awam tidak panik ketika berhadapan dengan haiwan berbisa itu ekoran sifat ular akan menyerang apabila terasa terancam.

Orang awam diminta segera menghubungi APM untuk tindakan menangkap haiwan berbisa itu.