Cuba tarik kereta wanita, polis tahan dua lelaki

Cuba tarik kereta wanita, polis tahan dua lelaki
Mazlan berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki yang disyaki terbabit dalam cubaan menarik kereta seorang wanita di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Jumaat lalu yang kemudian tular di media sosial.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata tangkapan pertama dibuat selepas seorang pemandu trak tunda tampil menyerah diri pada 2.20 petang semalam manakala rakannya ditahan di sebuah hotel pada 11.50 malam pada hari sama.

"Seorang lagi suspek masih belum menyerah diri dan kami menggesa supaya individu terbabit segera menyerah diri bagi membantu siasatan," katanya dalam satu sidang media di Ibu pejabat Polis Kuala Lumpur, hari ini.

BACA: Wanita cemas bayaran kereta 'tertunggak' 19 bulan
Beliau berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

Semalam, media melaporkan ketiga-tiga lelaki terbabit cuba menarik kereta jenis Mazda selepas mendakwa wanita berusia 32 tahun itu mempunyai tunggakan bayaran bank selama 19 bulan.

Dalam perkembangan berasingan, Mazlan mengesahkan polis menerima satu laporan berhubung tindakan membaling lapan botol arak kosong di perkarangan Surau Al-Makmur Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Pantai, Jalan Pantai Dalam, Ahad lepas.

"Kita melihat kes ini dari segi khianat dan memandang serius kejadian ini. Saya juga meminta agar masyarakat perlu saling faham dan menghormati agama lain," katanya.

Kejadian dilaporkan berlaku sekitar 8.30 malam dan berakhir kira-kira 11 malam ketika jemaah dari Blok 100 dan 102 PPR terbabit menunaikan solat isyak dan solat sunat tarawih.

-- BERNAMA