Cubaan seorang lelaki warga tempatan membawa sembilan pendatang haram warga Thailand ke Kuala Lumpur menggunakan kenderaan mewah (MPV) gagal apabila ditahan sepasukan anggota Batalion Ke-9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) di Kampung Bagus dekat Rantau Panjang, Pasir Mas, pukul 6.00 pagi tadi.

Pegawai Pemerintah PGA9, Supt Nor Azizan Yusof berkata tangkapan dilakukan selepas pasukan Strike Force PGA9 yang menjalankan rondaan di kawasan Jalan Lubok Gong berdekatan pangkalan haram Adam, Rantau Panjang melihat sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

"Pasukan PGA9 cuba menahan kenderaan itu namun pemandu terus memecut laju sebelum berhenti di bahu jalan Kampung Bagus, Rantau Panjang selepas dikejar anggota Strike Force," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau berkata anggota PGA9 yang melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan berkenaan mendapati pemandu adalah seorang lelaki tempatan berusia 30-an, manakala sembilan lelaki disyaki warga asing berada di tempat duduk penumpang.

"Pemandu MPV itu memaklumkan sembilan lelaki berkenaan telah memasuki negara ini melalui pangkalan haram Bilal Dollah dan akan dihantar ke Selayang, Kuala Lumpur," katanya.

Nor Azizan berkata siasatan lanjut mendapati lelaki yang bertindak sebagai 'tekong darat' itu menerima upah RM350 'satu kepala' bagi menghantar sembilan pendatang haram itu ke destinasi yang ditetapkan.

"Kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan selanjutnya. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 26(J) ATIPSOM 2012 dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63," kata Nor Azizan.

-- BERNAMA