Lapan lelaki dipercayai perompak berputih mata apabila cubaan merompak mereka di sebuah kedai emas di Cheras gagal selepas alat penggera keselamatan berbunyi.

Kejadian pada jam 11.46 pagi ini turut mengejutkan pengunjung Pasaraya Econsave itu.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Chong Kok Sin berkata, siasatan awal mendapati empat daripada lapan suspek masuk ke premis dan memecahkan cermin kaca menyimpan barang kemas.

Bagaimanapun sebaik penggera keselamatan di kedai emas ini berbunyi, suspek terus melarikan diri.

Manakala empat lagi rakan mereka yang menunggu di luar pasaraya turut melarikan diri menggunakan empat buah motosikal.

Difahamkan seorang daripada suspek dipercayai membawa pistol dan berpakaian gelap.

Polis sedang memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenalpasti identiti suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan dan gerakan memburu penjenayah terbabit dijalankan.