Seorang warga tempatan dicekup Pasukan Polis Marin (PPM) ketika cuba menyeludup keluar 18 tong gas bersubsidi di kawasan perairan Tinagat, dekat sini, pada Jumaat.

Dalam kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari itu, suspek yang berumur 33 tahun itu dipercayai cuba menyeludup keluar barang kawalan tersebut ke Indonesia.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), DCP Datuk Hazani Ghazali, dalam satu kenyataan berkata sepasukan anggota PPM ketika sedang melakukan rondaan Op Gelora, terserempak dengan bot suspek yang sedang menuju ke arah Sungai Nyamuk, Pulau Sebatik dari arah Tinagat.

"Pemeriksaan lanjut mendapati suspek membawa 18 tong gas bersubsidi tanpa mempunyai sebarang dokumen kebenaran atau lesen daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

"Kes akan disiasat di bawah Akta Bekalan 1961 dibaca bersama Perkara 3(1), Peraturan-peraturan 1974," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata suspek kemudiannya telah ditahan bersama bot dan semua barang rampasan dibawa ke pangkalan PPM untuk tindakan lanjut.

Hazani berkata, ESSCOM dengan kerjasama semua pasukan keselamatan yang terdiri daripada polis, Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan memperketatkan kawalan keselamatan terutamanya di kawasan yang menjadi laluan penjenayah rentas sempadan bagi mengekang aktiviti berkenaaan daripada berlaku di kawasan ESSZONE.