Cawangan Narkotik Johor Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan penyeludupan dadah jenis methamphetamine bernilai 18 juta ringgit di pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah di sini pada 1 November lalu pukul 2 petang.

Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata, hasil pemeriksaan mendapati kontena itu mengandungi dua unit tangki air, 50 unit kotak karton kosong dan 30 unit penapis air.

Beliau yang ditemui pada sidang media di sini hari ini berkata, ketika diperiksa didapati kesemua bungkusan disorokkan di dalam bekas penapis air.

Hasil pemeriksaan menjumpai bahan berbentuk kristal putih dengan berat lebih kurang 300 kilogram yang disyaki dibawa dari luar negara.


Kastam juga berjaya menahan dua lelaki warga tempatan berumur 30-an kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kes itu.

Jelas beliau, tahun ini sahaja, seramai 78 orang yang disyaki terlibat dalam kegiatan dadah telah di cekup bebanding 44 orang tahun lepas.

Manakala, jumlah kes dadah yang direkodkan tahun ini sebanyak 79 kes berbanding 51 kes pada tahun lalu.

Tambah beliau, kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.