Cubaan sebuah bot Barter Trade dari Indonesia menyeludup daun nipah kering bagi dijadikan rokok daun ke negara ini gagal apabila ditahan Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Pulau Pinang pada Isnin.

Bot yang membawa 8.5 tan daun nipah kering bernilai RM60,000 dari Indonesia itu ditahan ketika berlabuh di Pelabuhan Weld Quay di sini.

Timbalan Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Superintendan Dimin Awang berkata dalam serbuan itu, pihaknya merampas sebanyak 63 kotak dan 474 beg plastik berisi daun nipah yang dipercayai untuk dijadikan rokok.

Susulan itu, pihaknya menahan lapan kru warga Indonesia berusia 30 hingga 55 tahun dalam Op Gelora pada jam 5 petang itu.

Menurut Dimin, siasatan mendapati bot yang dipercayai dari Pangkalan Dodek di Indonesia itu membawa barangan untuk pasaran negeri ini.

Pihaknya kemudian menyita kapal dan daun nipah berkenaan yang keseluruhannya dianggarkan bernilai kira-kira RM350,000 untuk diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.