Sarat, demikian keadaannya yang dapat digambarkan ketika 11 warga Bangladesh yang berada di dalam dua buah kenderaan jenis Proton Persona dan Wira cuba menyeludup masuk ke dalam negara ini.

Cubaan tersebut bagaimanapun berjaya 'dihidu' oleh anggota kawalan Pos Tanjung Sepat, di Kuala Langat dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi, pada 5 April lalu.

Menurut Komander Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Cheras, SAC Abdul Ghani Mohamad Ji, pasukan tersebut pada mulanya cuba menahan sebuah kenderaan Myvi berwarna kuning namun pemandu terbabit terus merempuh halangan tanpa menghiraukan arahan berhenti.

Susulan itu katanya, pasukan berkenaan segera menghubungi Pos Taktikal Pantai Morib sebelum satu rondaan dijalankan di kawasan yang disyaki.

Hasil daripada rondaan, pasukan tersebut berjaya menahan dua buah kenderaan jenis Proton Persona dan Wira yang dipandu dua lelaki warga tempatan.

Cubaan tersebut bagaimanapun berjaya 'dihidu' oleh anggota kawalan Pos Tanjung Sepat, di Kuala Langat dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi, pada 5 April lalu. - Foto PDRM

“Kenderaan tersebut dalamnya memuatkan 11 lelaki warga Bangladesh yang mana kita syaki mereka ini baru mendarat di kawasan berkenaan (Perairan Tanjung Sepat).

“Jadi kita terus melakukan tangkapan iaitu terhadap dua lelaki dalam kereta tersebut. Seramai enam warga Bangladesh yang mana kesemua mereka tidak mengandungi dokumen perjalanan yang sah, sebuah lagi kereta memuatkan lima warga Banglasdesh,” katanya kepada pemberita pada Program Jiwa Murni Gotong-Royong Amal PDRM bersama masyarakat di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tun Hussein Onn, di sini pada Ahad.

Kedua-dua suspek warga tempatan yang berusia 37 tahun dan 40 tahun masing-masing berasal dari Banting dan Jenjarom, Selangor.

Jelasnya, tangkapan tersebut merupakan kejayaan dalam OP NYAH 1 Selangor, yang mana setakat tahun ini sahaja banyak tangkapan melibatkan pendatang tanpa izin yang memasuki negara tanpa laluan sah.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa penduduk tempatan telah bersekongkol dalam kegiatan penyeludupan warga asing secara haram memandangkan mereka mengetahui selok-belok kawasan sekitar.

Bayaran menyeludup seorang warga asing dianggarkan sekitar RM6,000 hingga RM10,000, katanya.

Abdul Ghani berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM).

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 15 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dalam perkembangan berasingan, Abdul Ghani memaklumkan jumlah rampasan membabitkan barangan tidak berbayar cukai meliputi rokok dan arak, setakat Januari hingga Mac tahun ini adalah sebanyak RM165,400.