KETUA Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Aidilfitri kali ini pastinya berbeza berbanding tahun-tahun yang lalu.

Beliau berkongsi rasa yang dianggapnya, paling membahagiakan untuk menyambut Syawal tahun ini.

"Mungkin saya selalu bandingkan raya tahun-tahun yang lalu di penjara, tahun ini kalau Allah izinkan keluarga bersama.

"Cucu-cucu pun dah sebut, di pagi raya nanti berebut siapa nak cium tangan 'Papa Tok' dan mereka tidak mahu saya pergi macam dahulu," kata Anwar ketika di dalam program AI yang disiarkan di saluran 501 Astro AWANI 8.15 malam ini.
Anwar berharap Syawal kali ini membawa keinsafan kepada mereka yang pernah bergelumang dengan gejala rasuah.

"Gejala rasuah ini menjalar hampir menjadi budaya. Kita bersyukur kerana perubahan mengejutkan ini menginsafkan.

"Macam baru-baru ini dikeluarkan kenyataan seorang penjawat awam tertinggi, elaunnya 235 -250 ribu ringgit sebulan. Ini gila! Kalau ikut pengalaman saya sebagai menteri kewangan, kita patut halang!" tegas Anwar.

Beliau juga berharap rumah-rumah terbuka anjuran kerajaan dijalankan dengan penuh sederhana dan tidak membazir ketika negara sedang melalui fasa pembaharuan dan reformasi institusi.