Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menghargai pengumuman bantuan khas sebanyak RM500 dibuat Perdana Menteri walaupun permintaan mereka pada asalnya adalah sekurang-kurangnya RM1,000.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, Cuepacs akan terus memperjuangkan usaha meningkatkan lagi bantuan khas berkenaan pada tahun-tahun akan datang.

"Cuepacs berterima kasih pada Perdana Menteri atas pengumuman bantuan khas RM500 walaupun Cuepacs sebelum ini telah merayu kepada kerajaan supaya memberikan bantuan khas sebanyak RM1,000, mungkin RM500 ini dapatlah sedikit menyelesaikan sedikit permasalahan kumpulan bawahan," katanya semasa dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun, memahami jumlah yang diumumkan Perdana Menteri itu dibuat berdasarkan kemampuan kerajaan.

"Dalam keadaan ekonomi ini, angka ini akan berubah pada masa akan datang, bukan lagi RM500. RM500 ini tidak ada apa sebenarnya, untuk seorang anak bolehla anak empat bagaimana.Namun, kita tidak boleh seratus peratus membebankan kerajaan sebab itu bantuan khas kerana kerajaan mampu beri sebanyak itu," tambahnya.

Walaupun cadangan Cuepacs sebelum ini tidak dipenuhi, namun, kongres itu berharap kerajaan akan meningkatkan jumlah bonus tahunan penjawat kerajaan bagi tahun ini.

"Perasaan (kecewa) itu tetap ada. Memang jauh di sudut hati level kami setakat itu sahaja. Ini persepsi mereka. Namun ada juga pekerja-pekerja swasta yang tidak dapat, ada juga pekerja lain yang tidak dapat. Jadi, kalau nak bandingkan penerima bonus raya dengan penerima BR1M mungkin adalah suatu tidak adil.

"Kita harap kerajaan akan menimbangkan bonus untuk akhir tahun yang mungkin akan menggembirakan kita penjawat awam," kata beliau lagi.

Justeru, beliau menasihatkan penjawat awam agar berbelanja secara berhemah dan memanfaatkan bantuan khas yang diberikan.

Perdana Menteri pada Jumaat mengumumkan bantuan khas sempena hari raya RM500 kepada 1.6 juta penjawat awam, manakala, RM250 kepada 775,000 pesara.