Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan kerajaan mewujudkan Skim Persaraan Anjal.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, saranan tersebut bagi membolehkan pekerja menyumbang pengalaman dan kepakaran mereka walaupun sudah melewati usia persaraan.

Menurut beliau, Skim Persaraan Anjal ini boleh dijadikan alternatif penyelesaian pada kemelut had usia persaraan wajib 65 tahun seperti yang dituntut oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

"Mungkin pakar-pakar dalam bidang-bidang tertentu boleh dilanjut secara anjal mengikut keperluan industri dan kalau ini berlaku ia bukan merugikan malah menguntungkan negara kerana seorang yang hilang mungkin tak sama dengan 10 orang yang datang dan ini yang kita sebutkan," kata beliau.

Beliau berkata, skim itu tidak akan menjejaskan golongan muda bagi merebut peluang pekerjaan kerana golongan ini akan mengisi kekosongan daripada pekerja di sektor swasta atau kerajaan yang telah mencapai umur persaraan.

Katanya, menjadi satu kerugian sekiranya bakat sesetengah pekerja yang terbukti berkebolehan tetapi terpaksa berhenti kerana kekangan umur persaraan.

BACA: Kerajaan akan sentiasa kaji skim pencen demi kepentingan rakyat Tun Mahathir