Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa siasatan segera dan terperinci dijalankan, terhadap kes seorang anggota polis yang maut dirempuh kenderaan dipandu pemandu dipercayai mabuk, awal pagi Ahad.

Presidennya Adnan Mat menerusi kenyataan hari ini menegaskan, pendakwaan kes tersebut perlu dilakukan segera sekiranya didapati berlaku kesalahan.

"Hukuman yang berat dan setimpal perlu dijatuhkan jika (pemandu) didapati bersalah bagi memberi pengajaran kepada semua pihak, agar kejadian sama tidak berulang lagi.

"Cuepacs melahirkan rasa dukacita mengenai perkhabaran tersebut, dan menganggap kejadian itu merupakan satu mimpi buruk kepada seluruh pasukan keselamatan dan penjawat awam, yang bertugas menjaga keamanan negara di saat krisis pandemik COVID-19 melanda ketika ini," katanya.

Dalam kejadian pukul 2.11 pagi tadi, Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan badan, selepas dirempuh oleh sebuah pacuan empat roda, dalam kejadian berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan Lebuhraya LEKAS di Kajang.

Susulan rempuhan itu, kenderaan pacuan empat roda terbabit turut terbalik dan menghempap mangsa, yang ketika itu bertugas di sekatan jalan raya (SJR) Op COVID-19 berhampiran plaza berkenaan.

Dalam pada itu, Adnan menggesa pihak berkaitan memandang serius isu kebajikan anggota keselamatan yang bertugas di barisan hadapan.

"Cuepacs menerima pelbagai aduan terutama melibatkan isu tuntutan elaun COVID-19 sebanyak RM200 kepada anggota polis, yang dikatakan terlalu banyak kerenah birokrasi.

"Ada yang bertugas hampir 30 hari tanpa henti tetapi diminta mengisi pelbagai borang, kemukakan akaun bank serta meminta kelulusan daripada ketua jabatan untuk menerima elaun tersebut, sedangkan semua maklumat sudah sedia ada," katanya.

-- BERNAMA