Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini mahu kerajaan segera mewujudkan Majlis Perundingan Gaji dan Majlis Pemuafakatan Sektor Awam selain Skim Perlindungan Keselamatan bagi penjawat awam yang belum disahkan jawatannya.

Menurut Presidennya Datuk Azih Muda kesemua isu tersebut akan dibangkitkan dalam perjumpaannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, esok.

Cadangan tersebut katanya bertujuan menyediakan platform terbaik antara kerajaan dan Cuepacs dalam mendengar suara pekerja di negara ini selain bagi memastikan nasib mereka terbela.


Bahkan jelas beliau, perkara itu telah dipersetujui oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan Konvensyen Cuepacs kali ke-27 pada Disember tahun lalu.

Bagaimanapun sehingga kini tiada perkembangan lanjut atau respon dari pihak kerjaan mengenainya.

“Sehingga hari ini Cuepacs masih lagi belum menerima jawapan balas daripada pihak kerajaan walaupun timbalan perdana menteri talahpun menyatakan secara terbuka persetujuan supaya satu mekanisme rundingan diantara kerajaan dan Cuepacs.

"Untuk memastikan perkara yang sentiasa berbangkit mengenai kadar upah, syarat perkhidmatan, syarat masuk, laluan kerjaya, pembangunan kerjaya dan masa depan penjawat awam itu sendiri dari segi elaun ,dari segi gaji dan dari segi saraan," katanya ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri cuepacs di ibu negara.

Sementara itu jumlah kakitangan awam yang memilih untuk bersara awal yang tinggi ketika ini akibat tekanan kos hidup serta tekanan kerja juga menimbulkan kebimbangan beliau. Justeru beliau menyifatkan pertemuan dengan Perdana Menteri pada Jumaat medan terbaik untuk mengajukan semua isu berkenaan untuk dipertimbangkan.

“Intipati yang kita nak masukkan dalam perundingan ini sudah tentunya meliputi soal gaji, soal kemudahan-kemudahan yang perlu ada, soal elaun-elaun yang perlu kerajaan timbangkan yang sudah lama tidak dikaji yang sudah lebih 15 tahun,.

"Juga mengenai gaji minimum dan maksimum yang kami rasakan tidak menguntungkan penjawat awam terutama apabila proses pembangunan kerjaya berlaku kepada mereka disebabkan gaji minimum dan maksimum. Mungkin jugak kita nak bangkitkan isu pinjaman perumahan yang agak sukar," katanya lagi.