Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menafikan dakwaan pihak pembangkang kononnya penjawat awam menerima tekanan supaya tidak mengundi selain Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Presiden Ceupacs, Datuk Azih Muda berkata kenyataan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman sebelum ini juga telah dimanipulasikan dan di luar konteks maksud sebenar.

''Tindakan mereka ini adalah cubaan menabur fitnah dan seolah-olah mencampuri urusan kerajaan serta mahu mengajak penjawat awam ke kancah politik.

''Kenyataan Tan Sri Zainal Rahim Seman adalah merujuk kepada penjawat awam perlu menghargai kerajaan sedia ada bermaksud mereka perlu membalas balik sama ada dalam bentuk produktiviti, kerja keras dan komitmen terhadap tugasan setelah usaha kerajaan selama ini menjaga kebajikan mereka,'' katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Naib Pengerusi Biro Buruh DAP, Amran Ahmad Nor mengeluarkan kenyataan mahu melindungi hak-hak demokrasi dalam kalangan 1.6 juta penjawat awam dengan mewujudkan Jawatankuasa Bertindak Pembela Penjawat Awam.

Ini susulan dakwaan beliau yang menerima aduan daripada guru mengenai cubaan oleh pihak tertentu yang berniat untuk menakut-nakutkan mereka untuk tidak mengundi selain daripada BN.

Azih menegaskan kerajaan hari ini sentiasa menjaga kebajikan penjawat awam dengan menyediakan pelbagai bentuk bantuan dan telah banyak melakukan penambahbaikan dalam sektor perkhidmatan awam.

''Kami berasa amat terhutang budi dengan kerajaan sedia ada yang sentiasa membuka peluang rundingan antara pekerja dan majikan.

''Kerajaan juga telah menimbang banyak perkara yang telah memberi keselesaan sedikit kepada penjawat awam untuk keluar daripada kepompong kemiskinan,'' katanya.

-- BERNAMA