Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menasihatkan penjawat awam agar merancang perbelanjaan mereka semasa melakukan persiapan keluarga menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata fenomena berhutang setiap kali perayaan menjadi trend kalangan penjawat awam dan ia sekali gus membebankan mereka terutama mereka yang berpendapatan rendah.

"Cuepacs merayu kepada penjawat awam supaya merancang perbelanjaan dan berbelanja secara berhemah, kerana kita tidak mahu ada yang sehingga terpaksa menanggung hutang yang terpaksa dibuat pada musim-musim perayaan. Perkara ini (masalah berhutang) sentiasa berulang," katanya semasa dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

BACA: Cuepacs akan terus perjuang bonus raya lebih RM500 tahun depan

Menurut Azih lagi, seorang penjawat awam akan terus dibelenggu dengan masalah hutang jika sikap meminjam sama ada dengan individu atau syarikat setiap kali musim perayaan tidak dikawal.

"Tempoh yang paling kritikal kepada penjawat awam yang menyebabkan mereka ini tergolong dalam kumpulan yang berhutang kerana apabila perbelanjaan-perbelanjaan hari raya ini tidak dikawal dan mereka tidak cukup untuk menampung perbelanjaan keluarga, maka mereka terpaksa meminjam dan akhirnya mereka ini hidup berhutang yang serius pula selepas hari raya," ujarnya.

Justeru, Cuepacs berharap trend berhutang setiap kali musim perayaan akan dapat diubah dengan perancangan perbelanjaan yang lebih baik dilakukan penjawat awam.

"Beban yang ditanggung penjawat awam hari ini telah meletakkan kita dalam kumpulan sasar yang hampir miskin sebenarnya sebab itu kita harap gaji akan dapat ditingkatkan. Namun pada masa sama, kita nak mereka tingkatkan produktiviti yang optimum," katanya lagi.