Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menzahirkan keyakinan dan sokongan tanpa berbelah bahagi kepada Perdana Menteri yang baharu dilantik, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presidennya Adnan Mat berkata penjawat awam sentiasa bersama dengan kerajaan untuk terus memajukan negara ke arah yang lebih cemerlang dan seterusnya memberi perkhidmatan yang sangat berkesan dan berkualiti kepada rakyat dan negara.

"Walaupun kerajaan datang dan pergi bersilih ganti namun perkhidmatan awam tetap kekal setia dalam neutraliti meneruskan khidmat menjaga kesejahteraan negara secara menyeluruh di bawah payung institusi raja.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] MY2020 Muhyiddin PM-8

"Oleh itu, Cuepacs dan penjawat awam akan terus memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan berkesan kepada rakyat dan negara bersandarkan teras taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah," katanya dalam kenyataan hari ini.


Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di sini pada 10.33 pagi.

-- BERNAMA