Kerajaan menyeru pembayar cukai yang masih belum membuat pengisytiharan cukai pendapatan atau telah membuat pengisytiharan cukai pendapatan yang tidak tepat agar memanfaatkan Program Khas Pengakuan Sukarela (Pengakuan Sukarela) seperti yang telah diumumkan dalam ucapan Bajet 2019.

Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng program khas yang bermula pada 3 November 2018 dan akan berakhir pada 30 Jun 2019 ini terbuka kepada semua kategori pembayar cukai dan menawarkan kadar penalti yang lebih rendah iaitu antara 10% hingga 15% daripada amaun cukai yang kena dibayar.

Jelas beliau, selepas tempoh pengakuan sukarela tamat, pembayar cukai yang tidak mengambil peluang ini dan dikesan melakukan ketidakpatuhan dalam pengisytiharan cukai pendapatan mereka boleh dikenakan penalti yang lebih tinggi antara 80% hingga 300%.

"Jadi yang kita kurangkan ialah penalti. Penalti sedia ada antara 80 hingga 300 peratus. Jadi gunakan peluang ini baik-baik dan cepat-cepat kerana inilah masanya cuma bayar penalti 10 peratus, kalau tidak mungkin bayar hingga 300 peratus,"katanya semasa berucap merasmikan Seminar Percukaian Kebangsaan (SPK) 2018 di sini, hari ini.

Proses pengakuan sukarela turut dipermudahkan di mana bagi pembayar cukai yang belum membuat pengisytiharan cukai pendapatan untuk mana-mana tahun taksiran, mereka hanya perlu membuat pengisian borang cukai melalui e-Filing atau borang kertas.

Manakala bagi pembayar cukai yang telah membuat pengisytiharan cukai pendapatan yang tidak tepat hanya perlu menghantar surat atau e-mel kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) memaklumkan hasrat untuk membuat pengakuan sukarela dan melaporkan pendapatan atau perbelanjaan sebenar dalam surat/e-mel tersebut.

LHDNM juga mengesahkan bahawa tindakan audit dan siasatan menurut peruntukan undang-undang dan rangka kerja sedia ada terhadap individu atau mana-mana pihak yang dipercayai memiliki kekayaan luar biasa tetapi gagal membuat pengisytiharan cukai yang betul kepada LHDNM turut akan dilakukan.

Analisa risiko akan dilakukan bagi menilai tahap pematuhan cukai mereka sebelum jenis tindakan penguatkuasaan cukai yang bersesuaian diambil.

Setakat ini, LHDNM telah mengenal pasti seramai 79,786 pembayar cukai individu, syarikat, pertubuhan, koperasi dan lain-lain kategori yang memiliki harta atau kekayaan luar biasa tetapi gagal membuat pengisytiharan cukai pendapatan atau telah membuat pengisytiharan cukai tetapi tidak setara dengan pemilikan harta dan kekayaan mereka.

Mereka akan diberikan surat tawaran pengakuan sukarela dan notis di bawah Seksyen 79 Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP1967) bagi meminta maklumat tambahan dan penjelasan.

Mereka yang menerima notis di bawah Seksyen 79 ACP 1967 ini hendaklah memberikan maklum balas kepada LHDNM dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis tersebut disampaikan.

Kegagalan mereka memberikan maklum balas dalam tempoh ditetapkan boleh mengakibatkan mereka dikenakan tindakan menurut Seksyen 120 Akta Cukai Pendapatan 1967 iaitu denda tidak kurang RM200.00 dan tidak lebih RM20,000.00 atau penjara bagi tempoh tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.