Produk insurans am akan tertakluk di bawah cukai perkhidmatan berikutan Rang Undang-Undang Cukai Perkhidmatan yang diluluskan di Parlimen baru-baru ini, kata Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM).

Cukai berkenaan akan dikenakan kepada individu yang membeli polisi insurans am kecuali polisi perubatan.

"Pengguna yang membeli atau memperbaharui polisi insurans am mereka pada atau selepas 1 September 2018 akan dikenakan Cukai Perkhidmatan enam peratus terhadap premium mereka.

"Polisi yang dibeli sebelum tempoh tiada cukai, iaitu dari Jun hingga Ogos dan berterusan selepas September, perlu membayar Cukai Perkhidmatan yang dikenakan secara pro-rata," kata PIAM dalam satu kenyataan.

PIAM menjelaskan bahawa, individu yang membeli polisi insurans sebelum Jun akan dikecualikan daripada cukai berkenaan kerana mereka sudah membayar enam peratus Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang sudah diambil kira dan dibayar kepada Jabatan Kastam.

"Sebagai contoh, bagi seseorang yang diinsuranskan yang membeli insurans kereta pada 25 Julai 2018 dan tempoh insurans adalah dari 1 Ogos 2018 hingga 31 Julai 2019, akan ada dua senario mengenai cukai yang dikenakan terhadap polisi mereka.

"Perlindungan untuk bulan Ogos akan mempunyai kadar sifar GST dan Cukai Perkhidmatan pro-rata akan dikenakan untuk baki 11 bulan, iaitu dari September 2018 hingga Julai 2019," tambah PIAM.

PIAM juga menyatakan bahawa, polisi insurans perjalanan yang dibeli sekali untuk perjalanan ke luar negara tidak dikenakan cukai.

Bagaimanapun, polisi perjalanan tahunan akan dikenakan cukai memandangkan destinasinya tidak dinyatakan di bawah polisi berkenaan.

Pengerusi PIAM, Antony Lee, berkata Cukai Perkhidmatan yang akan berkuatkuasa mulai 1 September, adalah berbeza dengan rejim cukai perkhidmatan sebelum ini.

Perkhidmatan insurans dan takaful termasuk insurans am untuk individu adalah antara barangan yang disenaraikan sebagai dikenakan cukai di bawah Cukai Perkhidmatan.

"Dalam hal ini, PIAM akan menjelaskan kedudukannya dan merayu kepada Kementerian Kewangan berhubung perubahan ini dan kesannya terhadap pengguna. Rejim cukai sebelum ini tidak terpakai kepada polisi insurans yang dibeli oleh individu.

"Beberapa produk insurans yang dibeli oleh individu seperti insurans motor untuk memperbaharui cukai jalan dan insurans kebakaran untuk hartanah yang dibeli melalui pinjaman adalah mandatori," tambah Lee.

-- BERNAMA