Pelaksanaan Cukai Nilai Tambah (VAT) oleh Kerajaan Arab Saudi tidak memberi kesan langsung dari segi kos kepada jemaah haji kali pertama dari Malaysia.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, walaupun kosnya meningkat, Tabung Haji tetap akan memberi subsidi buat jemaah haji dari Malaysia.

"Bayaran haji kekal pada RM9,980 bagi mereka yang pertama kali menunaikan haji.

"Ingin saya maklumkan juga bahawa kos bagi mengerjakan haji pada tahun ini secara keseluruhan telah meningkat daripada RM19,950 pada tahun lepas kepada RM22,490 pada tahun ini," kata Asyraf Wajdi.

Tambah beliau, kesan cukai VAT sebanyak 5 peratus sudah pun diambil kira dalam kos haji tersebut.

"Jadi, jumlah subsidi yang ditanggung Tabung Haji pada tahun ini meningkat ke RM500 juta berbanding RM300 juta pada tahun lepas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Raime Unggi (BN-Tenom) mengenai langkah strategik yang diambil Kerajaan Malaysia selepas Kerajaan Arab Saudi memperkenalkan VAT tahun ini.

Sistem percukaian VAT juga dikenali sebagai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di negara-negara lain.