“Cukup-cukuplah rosakkan Janda Baik” – ini rayuan aktivis alam sekitar Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil, yang juga Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia mengenai kerosakan buatan manusia yang semakin menjadi-jadi di kawasan itu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kesan penerokaan tanah dan pembalakan yang terjadi sejak bertahun lamanya di situ.

Yang lebih menimbulkan curiga, projek haram itu didakwa berselindung di sebalik alasan membaik pulih laluan jalan yang membawa keluar pilon daripada projek pembinaan pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Sekarang segenap stakeholder dan masyarakat Janda Baik, dan juga Kampung Bukit Tinggi mesti bersama-sama berganding bahu membantah sekeras-kerasnya pembukaan hutan kerana banyak impak negatif akan berlaku,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

BACA: Janda Baik 'rakus' digondol: Kontraktor dakwa keliru notis pemberhentian kerja

BACA: EKSKLUSIF: Tun M, selamatkan Janda Baik kami!

BACA: Janda Baik perlu diselamatkan

Selain itu, Shariffa Sabrina berkata, pihak berkuasa sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri harus sedar kawasan Janda Baik dan Bukit Tinggi terletak di jajaran sensitif gempa bumi, dan lebuhraya Karak juga akan menerima kesan daripada aktiviti pembalakan itu seperti tanah runtuh dan sebagainya.

Beliau menegaskan, setiap pihak yang bertanggungjawab terhadap projek berskala mega seperti itu harus melakukan pendengaran awam supaya masalah dapat dielakkan.

Dalam masa yang sama, ujarnya lagi, sudah tiba Kerajaan Persekutuan mengambil langkah yang lebih proaktif dalam menangani aktiviti sedemikian, walaupun beliau sedar ada kekangan seperti bidang kuasa persekutuan dan negeri mengikut Jadual 9, Perlembagaan Persekutuan dalam hal melibatkan tanah.

“Tiada yang mustahil. Persekutuan harus menangani masalah ini secepat mungkin dan perlu membawanya ke Parlimen sekiranya akta berkaitan perlu diubah. Masalah kita ialah tidak ada seorang pun ahli parlimen yang serius dalam menyelesaikan masalah ini.

“Selagi anda tidak mahu berubah, kita akan kehilangan kesemua hutan belantara serta khazanah yang terkandung di dalamnya kerana ketamakan segelintir pemimpin. Tengok apa yang terjadi di Kerala, India. Takkan kita nak tunggu bencana sebegitu untuk melanda baru kita nak berbuat sesuatu?” soalnya kembali.