Mahkamah Sesyen di sini hari ini, merintahkan tiga pengarah bersama syarikat pembinaan Builtmax Construction and Engineering Work membayar denda RM15,000 setiap seorang selepas masing-masing mengaku bersalah mencuri air, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Unaizah Mohd juga menjatuhkan hukuman itu terhadap Foo Siang Teng, 40; Yeow Soon Chye, 53 dan Lee Sin Kee, 55.

Mereka selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah melakukan penyambungan bekalan air haram di tapak pembinaan sebuah stor sementara di Lot 733, Jalan Kuantan-Pekan, Batu 17, dalam mukim Penor, di sini, pada 26 Jan, 2015.

Mereka didakwa menurut Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 123 (3) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum setahun, jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, SPAN melakukan serbuan ke tempat kejadian pada 26 Jan, 2015 susulan aduan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) pada 19 Jan yang mengesyaki berlaku penyambungan paip bekalan air ke satu saluran utama awam oleh pihak lain.

Pemeriksaan di tempat kejadian mendapati terdapat sambungan menggunakan 'ferrule' bersaiz 32 milimeter yang disambungkan ke paip tanpa melalui meter air dan terdapat dua punca penggunaan air di premis itu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Shariful Azman Mustapa Yahya dan Mohd Helmy Razelan manakala ketiga-tiga OKS tidak diwakili peguam.

Ketiga-tiga OKS membayar denda itu.

Terdahulu, Shariful Azman memohon mahkamah mengenakan hukuman yang berat dan setimpal terhadap ketiga-tiga OKS kerana mengelak bayaran air.

"Mereka ini satu entiti perniagaan yang seharusnya lebih bertanggungjawab dalam pembayaran bil air kerana pengguna domestik seperti orang di kampung juga membayar air yang digunakan," katanya. -- Bernama