Seorang warga emas mengalami kerugian kira-kira RM2,000 apabila seorang lelaki mencuri beg tangan miliknya ketika dia sedang menunaikan solat Subuh di Masjid Ibnu Abbas, Taman Ibu Kota, Setapak, Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsamaju, Deputi Superintenden Muhammad Najib Hamzah berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.20 pagi pada Rabu.

“Semasa jemaah sedang solat subuh, mangsa terdengar rakannya menjerit ada pencuri beg tangan melarikan diri dan mangsa serta beberapa jemaah cuba mengejar namun suspek berjaya larikan diri.

“Suspek memakai jaket bertutup kepala dan masuk melalui pintu tepi ruangan solat muslimah

“Suspek mengambil beg tangan milik mangsa yang diletakkan di hadapan tempat sujud dan terus melarikan diri menggunakan motosikal,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Muhammad Najib turut memohon bantuan orang awam untuk mengesan suspek terlibat.

“Sekiranya terkesan suspek sila hubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Muhammad Hafiz di talian 016-8741898 atau ASP M. Hussin 017-244 6363/03-928 99222.

“Pihak polis menasihatkan orang awam supaya sentiasa berhati-hati dan elakkan membawa barang berharga ketika menunaikan solat di masjid atau surau,” jelasnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.