Cuti semua anggota penyelamat dan pasukan pengurusan bencana pihak berkuasa tempatan dibekukan bermula November hingga Disember bagi menghadapi bencana banjir Monson Timur Laut, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau, yang mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pengurusan Bencana Pusat (JKTPBP) yang pertama hari ini, berkata, arahan pembekuan itu sebagai kesiapsiagaan semua pihak termasuk agensi yang mengguna dan menggerak aset.

Antara agensi terlibat ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

"Monsun Timur Laut bermula Sabtu lepas (27 Okt) dan akan berlanjutan sehingga Mac tahun hadapan, dan Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan empat hingga enam episod hujan lebat bermula November," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu di sini.

Dr Wan Azizah berkata hujan lebat yang berterusan ketika Monsun Timur Laut berpotensi mengakibatkan bencana seperti banjir, tanah runtuh, hakisan pantai, dan sekiranya hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan air pasang besar, maka risiko kejadian banjir dan bencana lain akan bertambah buruk.

Menurut beliau, pada November hujan lebat diramalkan bermula di Kelantan dan utara Terengganu. Pada Disember pula, ia akan berlanjutan di selatan Terengganu, Pahang dan Johor manakala di Sabah dan Sarawak pada Januari tahun hadapan.

Selain itu, kemungkinan fenomena air pasang besar akan berlaku di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak sepanjang Monsun Timur Laut kali ini.

Dr Wan Azizah berkata Amaran Hujan Lebat Berterusan Peringkat Waspada (kuning) pada 29 Okt hingga 1 Nov telahpun dilkeluarkan bagi Kelantan, Terengganu pada Sabtu lepas.

Pada tempoh yang sama, Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) telah mengeluarkan Notis Kesiapsiagaan kepada agensi berkaitan, katanya.

"PDRM hendaklah bersiapsiaga untuk menghadapi situasi banjir dengan menggerakkan aset dan keanggotaan sedia ada iaitu 31,531 orang seluruh kontinjen di seluruh negara dan Ketua Polis Negeri hendaklah dalam keadaan bersedia sepenuhnya untuk mengetuai operasi," katanya.

Mesyuarat hari ini juga memutuskan bahawa Pos Kawalan Tempat Kejadian dan Pos Kawalan Operasi Bencana (POKB) hendaklah mula diaktifkan, serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) hendaklah melantik pegawai perhubungan di POKB untuk menyelaras pergerakan badan bukan kerajaan.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata Jabatan Kebajikan Malaysia hendaklah mengaturgerak pusat pemindahan banjir yang kini berjumlah 5,448 bagi menampung kapasiti seramai 1.65 juta.

Seramai 6,499 pegawai, 186 kaunselor dan 839 Pasukan Penyokong Psikologi serta 5,620 sukarelawan JKM perlu digerakkan.

"Lima depoh, 165 stor bencana dan 581 pengkalan hadapan hendaklah selesai membuat penambahan stok serta siapsiaga untuk berkhidmat. Kita mahu stok yang segar dan belum expire," katanya.

Dr Wan Azizah berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga hendaklah mengaturgerak kesiapsiagaan untuk pemindahan haiwan semasa banjir kerana negara pernah mengalami kerugian berjuta-juta ringgit melibatkan lembu, kerbau, kambing, ayam, khindzir, dan rusa.

Dr Wan Azizah juga menyarankan orang ramai untuk mendapatkan maklumat tepat dan terkini cuaca boleh diperoleh melalui laman web Jabatan Meteorologi Malaysia di www.met.gov.my, aplikasi mobil MyCuaca, dan dalam laman media sosial seperti Facebook (malaysiamet) serta MMD Hotline talian 1-300-22-1638.

"Jangan mudah percaya kepada gambar atau video viral mengenai kejadian banjir yang berlaku beberapa tahun lepas. Dapatkan situasi sebenar menerusi laman sosial yang disediakan oleh Jabatan Meteorologi," katanya.

Beliau menyeru rakyat untuk memastikan keselamatan ketika berlakunya banjir, serta mematuhi arahan pihak berkuasa untuk berpindah serta jika perlu pindah awal, untuk mengelakkan kemalangan jiwa. -- Bernama