KUALA LUMPUR:Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dijangka mencecah lebih 1.5 juta, hari ini.

Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata, peningkatan jumlah pengguna jalan raya dijangka bermula pada petang ini susulan orang ramai memanfaatkan cuti Tahun Baharu dan hujung minggu.

Bagaimanapun, Yusuf menambah, setakat ini keadaan aliran trafik masih lancar dan terkawal.

"Kalau lihat kepada data semalam, trafik kami menghampiri lebih kurang 1.5 juta dan saya jangkakan (hari ini) trafik mungkin melebihi sedikit daripada 1.5 juta kerana ramai yang akan mengambil peluang untuk bercuti ataupun pulang ke kampung halaman pada hujung minggu ini.

"Dijangka trafik akan mula meningkat bermula petang ini sehingga esok, dan kembali ke Kuala Lumpur pada Ahad nanti.

"Cuma saya menjangkakan petang ini mungkin aliran trafik sedikit sibuk di kawasan-kawasan tertentu untuk mereka pulang bercuti, keluar dari ibu kota, mahupun menyambut Tahun Baharu pada malam ini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.

Mengulas lanjut, beliau berkata, keadaan tersebut dijangka berlanjutan sehingga pagi Jumaat di lebuh raya arah utara dan selatan.

Sehubungan itu, Yusuf berkata orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan mereka mengikut Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan PLUS.

Ia katanya, bagi mengelakkan kesesakan akibat peningkatan jumlah kenderaan.

"Sangat mudah sebenarnya, kalau kita nak ke utara (lokasi) paling jauh sekali, keluar seawal mungkin sebelum pukul 9 pagi, contohnya ke Kedah atau Perlis.

"Begitu juga ke selatan, kalau mahu ke Johor Bahru atau Melaka, keluar seawal mungkin supaya kita boleh memberi peluang sama rata kepada semua untuk mengatur perjalanan masing-masing," ujarnya lagi.

Sementara bagi mereka yang mahu membuat perjalanan ke pantai timur dan Negeri Sembilan boleh memasuki lebuh raya selepas pukul 12 tengah hari.

Bagi perjalanan ke Lembah Klang pula, PLUS menyarankan pengguna supaya mula memasuki lebuh raya sebelum pukul 9 pagi.

Dalam perkembangan sama, Yusuf turut mengingatkan para pelanggannya supaya memastikan mereka mempunyai baki yang mencukupi dalam kad Touch n' Go mereka.