Kira-kira 3.2 juta keluarga di negara ini tinggal di kawasan berisiko tinggi di mana elemen persekitaran kehidupan yang tidak kondusif menjadi penyumbang kepada faktor risiko dalam penyalahgunaaan dadah.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman menggesa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) memperkasa komuniti menerusi 'Kempen Perangi Dadah Habis-Habisan'.

Langkah itu perlu bagi mencegah dan membendung tingkah laku negatif dalam komuniti, katanya pada pelancaran Bulan Antidadah Kebangsaan 2019 di Dataran Istana Kehakiman di sini pada Jumaat.

"Dasar Dadah Negara telah menggariskan peranan dan tanggungjawab kepada 10 kementerian dan 14 jabatan dalam membantu kerajaan mengatasi isu dadah, sama ada dari segi pendidikan, pencegahan, rawatan dan pemulihan serta penguatkuasaan," katanya.

Justeru, Mohd Azis meminta semua pihak agar menjaga komuniti masing-masing dengan mengambil tahu mengenai apa yang berlaku di sekeliling mereka.

"Kita tidak boleh mengharap kepada pihak berkuasa atau kerajaan semata-mata dalam menangani isu permasalahan dadah.

"Ini kerana, dadah adalah masalah kepada seluruh masyarakat dan ia tidak akan selesai tanpa tindakan bersepadu," tambahnya.

Menurutnya, trend penggunaan dadah telah berubah, iaitu daripada dadah yang berasaskan tumbuhan seperti ganja dan heroin, kepada dadah sintetik seperti syabu dan ecstasy serta pil psikotropik.

"Kesan mudaratnya lebih merbahaya daripada dadah organik kerana dadah-dadah jenis sintetik ini mempengaruhi tingkah laku kepada pengguna dan penagih dadah yang menggunakannya.

"Jika dilihat dalam laporan-laporan media pada masa kini, sebahagian besar jenayah-jenayah ganas yang berlaku di Malaysia seperti membunuh berpunca daripada pengambilan dadah," ujarnya.