Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan kerjasama semua pihak dalam menangani masalah dadah membabitkan pelajar sekolah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata pihak polis tidak boleh bersendirian dalam menangani isu berkenaan.

"Masalah dadah adalah masalah semua pihak dan polis memerlukan bantuan masyarakat yang bertindak sebagai mata dan telinga kepada pihak berkuasa dalam menangani masalah dadah ini.

"Jadi kita mahu menceritakan realiti sebenar apa yang berlaku agar masyarakat dapat bersama-sama memainkan peranan dalam menangani masalah tersebut," katanya kepada Astro AWANI.

Tambahnya, polis tidak pernah berselindung dengan mana-mana pihak dalam mendedahkan maklumat dan data sebenar mengenai masalah dadah membabitkan pelajar sekolah dan sentiasa melakukan kempen kesedaran dari semasa ke semasa.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid mengesa polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) agar mendedahkan maklumat dan data sebenar kepada masyarakat berhubung kes dadah membabitkan pelajar.

AADK sebelum ini mendedahkan sejumlah 1,731 pelajar sekolah menengah positif dadah menerusi pelaksanaan ujian saringan air kencing terhadap 36,664 pelajar seluruh negara.