Lapan individu yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah termasuk dua pasangan suami isteri antara yang ditahan secara berasingan dalam Op Tapis di sekitar daerah ini sehingga Jumaat lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Selama, Asisten Superintendan Abdul Ghani Zainol berkata, dengan penahanan suspek berusia antara 13 hingga 61 tahun itu, pihaknya berjaya merampas sekitar 600 gram dadah jenis syabu dan heroin bernilai hampir RM20,000.

“Aktiviti pengedaran yang mula aktif sejak tujuh bulan lalu itu didakwa didalangi oleh seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) berusia 34 tahun.

“Lelaki OKU itu merupakan suami kepada salah satu pasangan yang ditahan. Kami turut menahan seorang remaja berusia 13 tahun yang juga anak kepada salah satu pasangan, namun telah dibebaskan dengan jaminan polis.

“Lebih teruk, apabila salah seorang suspek yang ditahan juga masih dalam pengawasan polis selama dua tahun selepas dibebaskan dari penjara sekitar tiga bulan lalu,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sidang media selepas menghadiri program Permukiman Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir pada petang Jumaat.

Op Tapis yang dijalankan sejak 6 Ogos lalu turut menyita empat buah kenderaan antaranya Honda City, Perodua Axia, Perodua Viva dan sebuah motosikal yang kesemuanya bernilai sekitar RM115,000.

Difahamkan, kesemua kenderaan itu dimiliki suspek hasil daripada wang menjual dadah.

“Semua suspek yang tidak mempunyai pekerjaan itu masing-masing memiliki rekod lampau berkaitan kes dadah.

“Dadah yang dirampas dipercayai untuk diedarkan di sekitar daerah ini kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya1952,” katanya lagi.