Seorang wanita warga Australia terselamat daripada tali gantung apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini membebaskannya daripada pertuduhan mengedar dadah Methamphetamine seberat 1142.8 gram, di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Sepang, tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Ghazali Cha membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan pembelaan wanita itu, Maria Elvira Pinto Exposto, 54, bahawa dia tidak mempunyai pengetahuan tentang dadah yang ditemui di bahagian berjahit di dalam beg yang dibawanya.Mahkamah kemudian memerintahkan wanita itu diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen untuk proses pengusiran pulang ke negara asalnya.

Maria diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sementara Timbalan Pendakwa Raya daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Nadiah Isa mewakili pihak pendakwaan.Wanita itu didakwa melakukan kesalahan di cawangan pemeriksaan penumpang 1 (CPP1) Balai Ketibaan Antarabangsa, Terminal Utama KLIA, kira-kira 3.40 petang, 7 Dis 2014.

Ibu kepada tiga orang anak itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) Akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.Seramai tujuh saksi pendakwaan dan lima saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula pada 2015.

Kes itu turut menjadi tumpuan media asing kerana Maria yang pernah bekerja dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan di Timor Leste, dilaporkan terjebak dengan 'penipuan cinta Internet' dan diperdaya menjadi keldai dadah oleh seorang lelaki dikenali sebagai Kapten Danial Smith yang kononnya pegawai tentera Amerika Syarikat berpangkalan di Afghanistan.

Dalam penghakimannya, Hakim Ghazali berkata Maria telah memberikan keterangan bagaimana dia jatuh cinta dengan Smith dan ingin berkahwin dengan lelaki berkenaan selepas berkenalan di Internet, dua tahun lepas.Hakim itu berkata beliau percaya perasaan cinta telah menyebabkan tertuduh hilang pertimbangan dan tidak fikir panjang dengan menuruti segala kehendak lelaki itu walaupun mereka hanya berhubungan di Internet.

BERNAMA