Daerah Lundu kini dikategorikan sebagai kawasan zon kuning selepas satu kes positif COVID-19 direkodkan di kawasan tersebut hari ini.

Sebelum ini Lundu kekal sebagai zon hijau sejak penularan wabak pandemik itu di Sarawak.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam satu kenyataan berkata, Sarawak mencatatkan satu kes positif di daerah Lundu.

Manakala daerah Asajaya dan Sri Aman pula bertukar daripada kawasan kuning kepada hijau.

Menurut Sekretariat JPBN lagi, tiga kes positif COVID-19 dari Hospital Umum Sarawak (HUS) dilaporkan sembuh dan telah discaj dari hospital.

Sehingga kini sebanyak 61.27 peratus kes positif COVID-19 telah sembuh dan pulang ke rumah masing-masing.

Untuk jumlah Person Under Investigation (PUI) hari ini adalah sebanyak 99 kes manakala 21 kes PUI masih menunggu keputusan makmal.

Terdahulu sejak Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) berkuatkuasa 18 Mac lepas, Lundu berjaya mengekalkan statusnya sebagai satu-satunya kawasan zon hijau di Sarawak.

Namun itu tidak bermakna daerah ini tidak memberi perhatian kepada kawalan kemasukan orang ramai bagi mencegah COVID-19 menular ke daerah itu.

Malah sebagai langkah tambahan, penduduk daerah Lundu dibekalkan dengan kita panduan pencegahan COVID-19 oleh Majlis Daerah Lundu (MDL).

Memandangkan kedudukan Lundu yang berhampiran dengan sempadan Indonesia, pemantauan di laluan sempadan Kompleks Imigresen Kastam dan Kuarantin Sarawak (CIQS) Biawak serta 15 laluan tikus lain turut diperketatkan.