Pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga diminta supaya mendaftarkan perkahwinan mereka secara sah bagi mengelakkan sebarang masalah kepada anak-anak mereka pada masa hadapan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan anak-anak mereka sukar mendapatkan sijil kelahiran serta memberi kesan kepada status kewarganegaraan mereka.

Katanya, kerajaan tidak boleh memberi kewarganegaraan sewenang-wenangnya kepada setiap kanak-kanak tanpa dokumen perkahwinan ibu bapa mereka.

"Jika ada permohonan yang lengkap, kita akan siasat, kita proses dan kita berikan sijil kepada kanak-kanak ini yang lahir di negara kita," katanya pada Mesyuarat Kedua Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu) mengenai keperluan untuk menetapkan prosedur operasi standard (SOP) dalam proses permohonan kewarganegaraan yang dilihat rumit.

Mengulas lanjut, Ismail berkata kerajaan juga telah memperkenalkan SOP baharu mulai Januari 2020 bagi mempercepatkan proses dan meluluskan permohonan kewarganegaraan.