Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Negeri Perak telah merampas pelbagai keluaran pertanian yang dibawa oleh penumpang di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) secara tidak sah sepanjang Oktober.

Antara keluaran pertanian itu ialah daging babi, daging buaya dan buah-buahan.

Pengarah MAQIS Perak, Zamri Hashim berkata, produk-produk itu cuba dibawa masuk oleh penumpang-penumpang walaupun larangan telah dikeluarkan oleh MAQIS.

Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dijalankan, pihaknya telah merampas 50 kilogram (kg) produk daging babi, 5kg daging buaya dan 30kg produk pertanian lain dengan nilai rampasan yang dianggarkan sebanyak RM2,000.

“Rampasan yang paling banyak adalah produk berasaskan babi seperti daging segar, daging perap dan sosej.

“Arahan larangan import produk babi telah dikeluarkan oleh kerajaan bagi mengelakkan penyebaran penyakit African Swine Fever (ASF) dari pelbagai negera terutamanya dari China, Hong Kong, Laos, Myammar, Cambodia, Poland, Belgium termasuk Vietnam,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut Zamri, kes mengimport produk haiwan tanpa permit import dan melanggar syarat-syarat import itu, merupakan kesalahan di bawah Seksyen 11 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11 (3) yang sama.

“Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

Pihak MAQIS, katanya, akan mengambil tindakan yang tegas bagi mana-mana orang yang terlibat dalam mengimport atau membawa masuk produk pertanian tanpa permit import yang sah.