Daging import dari Brazil yang berada di pasaran negara ini bebas daripada skandal daging tercemar yang berlaku di negara Amerika Selatan itu.

Menteri Penasihat di Kedutaan Brazil di Malaysia, Daniel Falcon Lins berkata tiada satu pun daripada 21 kilang pemprosesan yang terlibat dalam skandal itu, diberi kebenaran untuk mengeksportnya ke Malaysia.

"Ini mungkin kerana pematuhan halal. Jadi, ia tidak begitu menjejaskan Malaysia," katanya kepada Bernama dalam wawancara eksklusif di sini hari ini.

Skandal itu bermula Jumaat lepas apabila polis Brazil mendedahkan siasatan dua tahun mereka mendapati pengeluar utama makanan telah memberi rasuah kepada pegawai kesihatan bagi mengesahkan daging tercemar sebagai layak untuk dimakan.

Lins berkata hanya 33 daripada 11,000 pekerja (termasuk pegawai kesihatan) di Kementerian Pertanian telah disiasat.

Beliau juga menegaskan Brazil telah menghentikan eksport daging daripada 21 kilang pemprosesan yang dikatakan terlibat dalam skandal itu.

Pada 2016, Malaysia mengimport kira-kira RM134.4 juta (US$30 juta) daging dari Brazil, daripada jumlah keseluruhan import RM8.45 bilion (kira-kira US$1.91 bilion) dari negara itu.

Lins berkata kedutaan turut berhubung dengan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia untuk menyampaikan maklumat terkini skandal itu, dan berjanji akan telus mengenai perkara itu.

Semalam, Kementerian Kesihatan mengenakan tindakan menahan, menguji sebelum meluluskan daging yang diimport dari Brazil berikutan isu itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata ia adalah tambahan kepada syarat sijil kesihatan daripada pihak berkuasa Brazil oleh Kementerian Kesihatan, dan pemeriksaan itu adalah sebagai langkah berjaga-jaga.

Sementara itu, Lins turut menjelaskan ada maklumat yang dilaporkan mengenai isu berkenaan tidak tepat termasuk dakwaan kertas dicampurkan dengan daging yang diproses.

"Terdapat salah faham. (Dalam rakaman siasatan), mereka (suspek) sebenarnya membincangkan penggunaan kertas sebagai sebahagian daripada pembungkusan, bukannya mencampurkan kertas dengan daging," katanya.

Lins juga berkata sebelum skandal itu dikesan, negara itu tidak menerima sebarang aduan atau maklum balas dari negara pengimport lain mengenai daging tercemar dari Brazil.

"Setiap negara mempunyai sistem dan pemeriksa kesihatan sendiri sebelum membenarkan daging kami berada di pasaran. Namun setakat ini, tiada yang mengadu dan kami cukup gembira," katanya sambil menambah tiada orang yang dilaporkan sakit daripada daging tercemar itu.

Menurut laporan, daging Brazil dieksport ke lebih 150 negara dengan jualan pada 2016 mencecah US$5.9 bilion bagi ayam dan US$4.3 bilion untuk daging. -- BERNAMA