"Dah lama kami terputus hubungan.”

Itu luahan satu-satunya bapa saudara Datin Seri Rosmah Mansor, Mustafa Katas, 85, yang masih tinggal dan menetap di Kampung Tanah Datar, Chengkau, di sini, ketika ditemui Sinar Harian, hari ini.

Mustafa yang merupakan adik bongsu kepada Allahyarham Mansor bagaimanapun ketika ditemui sudah mengalami masalah ingatan atas faktor usia.

Beliau kini dijaga oleh isterinya, Saodah Kassim, 79, menyatakan, sejak Rosmah menjadi wanita nombor satu negara dengan mengahwini Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau sudah tidak lagi pulang serta menjenguk mereka sekeluarga di kampung.

BACA: Rosmah Mansor harap tiada butiran siasatan bocor

"Tak kisahlah... pak cik tetap juga pergi keluar mengundi... kalau ada terjumpa Rosmah di mana-mana sebelum terputus hubungan tu, Rosmah ada juga hulurkan pak cik duit sedikit... sekarang dah tak pulang-pulang lagi... dah tak ada apa-apa lagi,” katanya.

Bagi Saodah, walaupun tidak dikenalkan sebagai ibu saudara kepada Najib semasa menghadiri majlis kenduri di rumah ibu bapa Rosmah di Gedung Lalang, Seremban suatu masa dahulu, dia tetap merasa selesa dengan Najib berbanding Rosmah.

"Masa Rosmah berkahwin dengan suami pertamanya ada juga pulang ke kampung dan menjenguk kami beberapa kali. Lepas dah kahwin dengan Najib, langsung tak pernah datang lagi," katanya.