BEKAS Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin mengetuai rundingan dengan China untuk mendapatkan kembali RM8.3 bilion yang sudah dibayar kepada kontraktor projek Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) dan Saluran Paip Trans-Sabah (TSGP).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, perbincangan itu telah berlangsung sejak setahun lepas.

"Saya tidak fikir yang kita akan dapat perunding yang lebih baik daripada Tun Daim. Beliau mempunyai budi bicara dan kebebasan kerana walaupun beliau ketua perunding, beliau bukan sebahagian daripada kerajaan.

"Jadi beliau mampu mengemudi rundingan serta bebas untuk mengemukakan cadangan yang akan membolehkan kedua-dua pihak mencapai penyelesaian secara baik dan dipersetujui bersama," katanya kepada Bernama.

Daim, bekas Menteri Kewangan negara turut mengetuai rundingan semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan kerajaan China pada 12 April lalu yang menyaksikan kerajaan berjaya mengurangkan harga projek rel itu daripada RM65.5 bilion sebelumnya kepada RM44 bilion, iaitu penjimatan sebanyak RM21.5 bilion.

Lim berkata, Daim berjaya mencapai rundingan semula ECRL tanpa menjejaskan kepentingan hubungan dua hala antara China dan Malaysia dan pada masa sama berjaya mendapatkan Beijing untuk membeli lebih banyak minyak sawit, melabur lebih banyak pelaburan di Malaysia dan menampung separuh kos operasi ECRL.

"Ini merupakan urus niaga terbaik yang kita boleh dapat," katanya.

Lim berkata, projek saluran paip di Sabah merupakan antara banyak projek infrastruktur yang menyebabkan kerajaan menanggung banyak hutang berdasarkan keadaannya yang meragukan.

Bayaran RM8.3 bilion kepada kontraktor projek itu adalah untuk kira-kira 88 peratus daripada jumlah nilai projek di sebalik mendakwa bahawa hanya 13 peratus projek itu yang telah siap.

Projek RM9.4 bilion itu diberikan kepada Biro Saluran Paip Petroleum China pada 1 November 2016.

"Bila kami minta kontraktor tunjukkan kepada kami di mana mereka pasang paip itu atau kerja awal yang telah mereka laksanakan di Sabah, mereka enggan membawa kami. Apabila kami pergi membuat tinjauan, kami malah tidak jumpa sebatang skru pun dan namun mereka telah dibayar RM8.3 bilion.

"Kenapa bayar duit bagi kerja yang tidak dibuat? Sehingga kini, mereka gagal memberikan sebarang penjelasan," kata Lim. - BERNAMA