Malaysia kini mempertingkatkan kawalan pertahanan susulan serangan tentera bersekutu diketuai Amerika Syarikat (AS) terhadap kubu kuat Daish di Mosul, Iraq, bermula hari ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, berkata wujud kemungkinan anggota militan Daish akan pulang ke negara asal atau mencari perlindungan di negara tertentu sekiranya serangan itu melumpuhkan mereka.

Justeru, Malaysia sedang mengukuhkan hubungan dan perkongsian maklumat bersama negara yang terbabit dengan serangan itu, antaranya AS, Perancis dan Turki, selain hubungan trilateral antara Malaysia, Indonesia dan Filipina.

"Maklumat risikan antarabangsa memaklumkan jumlah militan Daish yang terlibat secara langsung di Iraq dan Syria akan pulang ke negara asal atau mencari perlindungan ini sangat besar, iaitu puluhan ribu.

"Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang mengukuhkan rangkaian dengan negara terbabit dengan serangan serta negara di rantau ini.

"MINDEF memastikan perkongsian maklumat oleh AS, Perancis dan Turki dipertingkat dalam pertemuan baru-baru ini, selain hubungan trilateral antara Malaysia, Indonesia dan Filipina sedang rancak diperluas," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Tambahnya, MINDEF turut menjalin kerjasama dengan agensi-agensi dari dalam dan luar negara termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai langkah proaktif menangani isu tersebut.

Perdana Menteri Iraq, Haider al-Abadi mengumumkan serangan tentera bersekutu diketuai AS bermula hari ini bagi menawan semula pusat pemerintahan Daesh di Mosul, Iraq.